DISEMBER 2021

Pulau Bruit Bakal Bersambung Dengan Tanah Besar


PULAU BRUIT: Pulau Bruit bukan lagi sebuah tempat yang tersisih daripada tanah besar Sarawak apabila siap pembinaan Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Batang Lassa yang menelan belanja  RM1 bilion, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg pada khamis.

Ini bukan omongan kosong kerana pembinaan kedua-dua jambatan tersebut sedang giat dilaksanakan, kata beliau dalam ucapan ketika merasmikan penanaman secara simbolik di perairan di sini. 

Di samping itu, beliau berkata jambatan tersebut boleh membawa paip air di atasnya daripada grid air di tanah besar. 

Selain itu kemudahan-kemudahan lain seperti jalan raya dan jambatan di dalam pulau tersebut juga akan diusahakan dengan perbelanjaan sekurang-kurang berjumlah RM42 juta, ujar beliau. 

Beliau berkata semuanya projek tersebut mampu dilaksanakan oleh Kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak) kerana negeri ini ada pendapatan tambahan daripada Cukai Jualan (SST) ke atas produk petroleum berjumlah RM7 bilion dalam masa tiga tahun. 

Mengenai tukun tiruan (reef ball) yang ditanam di perairan pulau tersebut dan di tempat-tempat lain sepanjang pantai Sarawak dengan peruntukan RM70 juta, beliau berkata terbukti daripada kajian program ini telah mempertingkatkan populasi ikan sekaligus menambahkan pendapatan para nelayan pantai. 

Menyifatkan tukun tiruan sebagai “rumah ikan” ia juga mampu menghindarkan pencerobohan pukat tunda yang banyak memudaratkan hasil laut di perairan Sarawak, tambah beliau. 

Datuk Patinggi Abg Jo turut mengesahkan pencalonan semula Datuk Abdullah Haji Saidol untuk mempertahankan DUN Semop dengan tiket GPS. 

Beliau mengakui bahawa usaha untuk membangunkan  DUN Semop amat mencabar kerana berada jauh di pesisiran. 

Namun, beliau berkata penyandang ADUN Semop Datuk Abdullah telah berusaha dengan gigih untuk mempastikan kawasan tersebut juga mampu menikmati pembangunan dan usaha beliau harus diteruskan.

Pada majlis tersebut Datuk Patinggi Abang Haji Zohari telah menyaksikan penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera dan Surat Hak Milik Tanah kepada para penerima di Pulau Bruit, penyampaian dividen Ladang Sejahtera dan penyerahan Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan.

Sumber dari : Sarawakku